SHAH ALAM: S P Setia Bhd menerusi anak syarikatnya Setia HC Ventures Sdn Bhd, memeterai perjanjian dengan Qualitas Medical Group Sdn Bhd, untuk cadangan membangunkan dan mengendalikan pusat jagaan ambulatori (ACC) di Setia Alam, Shah Alam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai, berkata beliau yakin dengan kejayaan usaha baharu itu, memandangkan penduduk yang semakin tua di Malaysia dan menjadikan keperluan untuk perkhidmatan sedemikian lebih mudah diakses di kawasan perbandaran mapan yang menempatkan keluarga berbilang generasi seperti Setia Alam.
“Ia adalah usaha sulung kumpulan itu dalam bidang penjagaan kesihatan, yang mana menjadi perniagaan yang semakin berkembang, berdasarkan trend pasaran.
“ACC adalah pusat pesakit luar yang menyediakan rangkaian perkhidmatan pakar dan pembedahan yang komprehensif termasuk kesihatan, diagnosis, rawatan dan pemulihan. Mereka bertindak sebagai jambatan antara pusat perubatan yang lengkap dan klinik amalan am,” katanya.
S P Setia telah mengenal pasti ACC pertama yang akan ditubuhkan iaitu di Setia City Residences di Setia Alam, dengan mengambil kira perkembangan sedemikian.
Setia City Residences ialah pembangunan bercampur bersepadu tiga menara yang menawarkan komponen kediaman dan komersial. Ia juga disambungkan melalui jambatan penghubung ke Setia City Mall.
Kumpulan itu juga, katanya, sudah meneroka perniagaan baharu yang akan melengkapkan kekuatan kumpulan untuk merangsang pendapatannya, dan ACC, yang memerlukan pelaburan modal yang agak kecil, adalah satu potensi yang telah dikenal pasti.
“Dipercepatkan oleh pandemik baru-baru ini, perkhidmatan penjagaan kesihatan mempunyai prospek yang kukuh untuk masa kini dan masa depan,” kata Kai Wai.