Urban Malaria di Pulau Pinang

KEPALA BATAS: Pulau Pinang menghadapi masalah Urban Malaria berikutan kebanjiran warga asing di pelbagai sektor ekonomi yang tidak diketahui status kesihatan mereka.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Ma'arof Sudin, berkata ekoran itu, majikan sektor swasta yang mempunyai pekerja warga asing perlu memberikan maklumat pekerja mereka dari negara endemik malaria kepada Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan supaya pihaknya mempunyai rekod.

"Malah semua pekerja asing seharusnya melalui pemeriksaan perubatan termasuk saringan malaria mengikut dasar yang ditetapkan oleh kerajaan bagi pekerja asing yang bekerja di Malaysia.

"Selain itu, penduduk yang tinggal atau mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko malaria atau ke negara endemik malaria perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sejuk menggigil, berpeluh dan lemah tubuh badan supaya rawatan awal dapat diberikan.

"Antara negara-negara endemik malaria adalah Indonesia, Filipina, Myanmar, Papua New Guinea, Bangladesh, Pakistan, India, Nigeria dan Congo," katanya berucap sempena Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Pulau Pinang di Setia Experience Centre, Bandar Setia Fontaines, di sini hari ini.

Sementara itu, Ma'arof berkata pihaknya juga sentiasa mengambil langkah kesiapsiagaan, pengesanan kes secara aktif, pemerkasaan aktiviti pengawasan dan kawalan serta pendidikan kesihatan dalam kalangan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta untuk mencegah serta mengawal sebaik mungkin jangkitan malaria yang diimport dari negara-negara endemik.
 

Katanya sebagai tambahan kepada aktiviti kawalan dan pencegahan konvensional sedia ada, inisiatif lain yang diambil dan amat unik bagi Pulau Pinang adalah Inovasi Modifikasi Parit Kawalan Malaria atau Kaedah Pengurusan Alam Sekitar bagi mencegah pembiakan nyamuk anophaeles yang boleh didapati di Taman Botani.

"Ia adalah satu-satunya model parit kawalan malaria di Malaysia yang terletak di kawasan yang mudah dilawati dan boleh dijalankan demonstrasi fungsi setiap jenis parit secara langsung dan menjadi sumber rujukan tempatan dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata terdapat dua kategori jangkitan penyakit malaria iaitu Jangkitan Malaria Manusia yang disebabkan oleh parasit plasmodium seperti falciparum, vivax, malariae dan ovale manakala kategori yang kedua adalah Jangkitan Malaria Zoonotik yang disebabkan oleh parasit plasmodium knowlesi yang ditular dari haiwan seperti kera yang menjadi perumah kepada manusia.

"Di Malaysia, sehingga Minggu Epid 30 tahun 2022, jumlah kumulatif kes Malaria yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 1,611 kes dengan 90.3 peratus adalah membabitkan Malaria Zoonotik (plasmodium knowlesi) yang ditularkan daripada haiwan yang menjadi perumah seperti kera kepada manusia.

Manakala, sebanyak 9.7 peratus lagi adalah kes jangkitan Malaria Manusia dan 96 peratus daripadanya kes import iaitu pesakit mendapat jangkitan dari luar negara dan dikesan dijangkiti malaria di Malaysia," katanya.

Related News

Looking for more news like this? Check out the articles below for more information and updates.

#Setia4Malaysia Unity Run semarak semangat patriotisme

Setia ‘Live Out Loud’ Concert brought 5,000 Malaysians together

S P Setia promotes healthy lifestyle and togetherness with ‘#Setia4Malaysia Unity Run 2022’

Battersea Power Station to open to public on Oct 14